• Football News Malaysia

ASRI BERPUAS HATI DENGAN BARISAN PEMAIN SEDIA ADA



Ketua jurulatih sementara Melaka United FC, Mohd Asri Ninggal berpuas hati dengan barisan pemain dan dijangka akan mengekalkan skuad ini tanpa ada perubahan dalam tempoh perpindahan kedua Liga Malaysia yang telah dibuka sejak 28 Mei.


Asri menyifatkan setakat ini masih tiada sebarang perancangan untuk membuat perubahan pemain dan percaya dengan skuad yang ada untuk meneruskan baki saingan Liga Super musim ini.


Dengan kedudukan pasukan di tangga kesembilan liga ketika ini, beliau positif anak buahnya mampu untuk membuktikan sesuatu sebaik sahaja saingan kembali bersambung pada bulan hadapan.


“Sekarang kita dah mula berlatih balik dan selepas ini akan ada beberapa perlawanan persahabatan di sini untuk pasukan bersedia aksi menentang Negeri Sembilan sebaik sahaja liga bersambung.


“Cuma buat masa sekarang, Melaka masih tiada apa-apa perancangan untuk buat apa-apa perubahan dalam tempoh jendela perpindahan sekarang.


“Tetapi, semuanya bergantung kepada keperluan memandangkan kita ada masa sehingga 24 Jun depan, cuma setakat ini apa saya boleh cakap, saya berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh barisan pemain”, jelasnya.


Asri yang kini mengambil alih posisi yang tinggalkan pengendali, Risto Vidakovic sejak bulan lalu mengakui tugas itu bukan mudah apatah lagi pasukan akan berdepan perlawanan yang lebih sukar sebaik sahaja liga bersambung.


Namun, mereka tetap akan bersedia dengan persiapan yang lebih rapi dalam tempoh rehat yang ada ini bagi memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan selepas dua kemenangan berturut-turut yang telah diraih.


“Memang satu tugas yang mencabar sebab selepas ini pun kita akan lawan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat.


“Kita akan menentang Negeri Sembilan terlebih dahulu, Sarawak United FC, JDT dan selepas itu, Selangor FC.


“Perlawanan juga berlangsung agak rapat, jadi ianya bukan mudah, tetapi pasukan akan lebih bersedia”, tambahnya.


 

Post Credits : https://www.malaysianfootballleague.com/articles/asri-berpuas-hati-dengan-barisan-pemain-sedia-ada/

Reposted: Footballmamak.com

Date: 9/6/2022

 


1 view

Recent Posts

See All