• Football News Malaysia

MANZOOR SEDIA UBAH NASIB PENANG FC

Updated: May 23



Selepas kemarau enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan, mampukah kehadiran Manzoor Azwira mengubah nasib Penang FC dengan mencari tiga mata sulung apabila berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Rabu?


Beliau yang kini pengendali sementara Penang FC mengakui harapan yang tinggi yang diletakkan penyokong memberikan tekanan kepada dirinya dan pemain-pemain lain.

Namun, Manzoor menghormati apa jua pandangan serta kritikan dari peminat sambil menyifatkan itu adalah sesuatu yang biasa dalam bola sepak.


“Bohong kalau saya katakan tidak tertekan, begitu juga dengan pemain selepas enam perlawanan tidak menang di Liga Super.


“Saya boleh terima pandangan yang diberikan oleh penyokong kerana itu hak mereka yang mahukan pasukan mampu bagi saingan.


“Cuma sekarang ini saya mahu fokus kepada aspek mental pemain dan mahu mereka ambil tekanan itu sebagai satu cabaran.


“Apa sahaja jua keputusan berdepan Kuala Lumpur pada Selasa, saya sedia menerimanya tetapi apa lebih penting, pemain berikan yang terbaik dan semua pihak boleh berpuas hati dengan aksi yang akan ditampilkan.


“Saya serta pihak pengurusan mengharapkan perlawanan dengan KL City akan menjadi detik kebangkitan buat kami yang tidak mahu terus ketinggalan di dasar liga serta terus dapat bersaing di Liga Super,” katanya.



Manzoor yang merupakan penolong jurulatih Penang FC mengambil alih sementara peranan yang ditinggalkan ketua jurulatih, Tomas Trucha pada 30 April lalu bagi hadapi baki saingan Liga Super.


Penang kini berada di dasar liga dengan memungut tiga mata, menjadi satu-satunya pasukan tanpa sebarang kemenangan di saingan Liga Super.


Manzoor berdepan tugasan yang berat dalam mencari tiga mata pertama ekoran masih tidak dapat menurunkan dua tonggak import, Rafael Vitor dan Casagrande selain Christian Rontini yang sedang membantu pasukan Filipina di Sukan SEA 2021.


“Buat masa ini, semua pemain tempatan tiada sebarang masalah untuk diturunkan cuma sepertimana yang diketahui, Vitor dan Casagrande masih belum pulih selain ketiadaan Rontini.


“Saya tetap menagih keyakinan pemain sedia ada selain enggan membuat terlalu banyak perubahan kerana tidak mahu ambil risiko bereksperimen memandangkan kami tidak membuat sebarang perlawanan persahabatan.


“Walaupun KL City mungkin baharu sahaja lalui perlawanan pada empat hari yang lepas, itu bukan satu kelebihan buat kami biarpun telah lalui rehat yang panjang dan saya harap pemain mampu cepat sesuaikan diri dalam perlawanan nanti,” katanya.


 

Post Credits :https://www.malaysianfootballleague.com/articles/manzoor-sedia-ubah-nasib-penang-fc/


Reposted: Footballmamak.com

Date: 19/5/2022

2 views

Recent Posts

See All