• Football News Malaysia

MISI NEGERI SEMBILAN, JDT KEKAL REKOD BERSIH TANPA KALAH

Updated: May 23



Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed waspada ancaman bahaya Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila masing-masing dalam misi untuk mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam perlawanan kelapan Liga Super, malam esok.


Pertembungan Negeri Sembilan dan JDT dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan ini masih belum tewas menyaksikan anak buah K. Devan kini di tangga teratas liga selepas enam perlawanan manakala JDT di tangga kedua selepas empat perlawanan.


Syihan yang semakin menunjukkan peningkatan dalam setiap aksi setakat ini mengakui tugas yang cukup berat untuk mengawal gawang bagi memastikan pasukan tidak bolos apatah lagi serangan JDT yang sentiasa memberi tekanan kepada lawan.


“Kita sedar JDT merupakan pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sengit pada malam esok sebab dua-dua sedang konsisten tanpa tewas.


“Tetapi dalam bola sepak, kita susah nak jangka sebab apa-apa sahaja boleh berlaku dan selagi perlawanan masih belum bermula, susah kita nak cakap siapa yang mungkin menang atau sebaliknya.


“Yang penting, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik sambil berharap kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan”, katanya.


Syihan yang hanya bolos enam gol dalam enam perlawanan setakat ini tidak menolak kariernya kini di landasan yang tepat apabila menampilkan aksi tidak mengecewakan selepas diberi kepercayaan beraksi penuh dalam semua perlawanan.


Apa yang pasti, bekas pemain PJ City FC itu menganggap ini baru permulaan sambil menyifatkan aksi-aksi akan datang pasti lebih sukar dan perlu menggandakan usaha untuk membantu pasukan.


“Alhamdulillah dengan pencapaian sekarang dan ini semua hasil sokongan daripada rakan-rakan sepasukan juga.


“Setiap pemain tidak berputus asa dalam setiap perlawanan dan mereka juga sentiasa memberi semangat antara satu sama lain.


“Memang saya tidak nafikan banyak peningkatan dalam diri sejak bersama pasukan ini dan insyaAllah saya akan terus berusaha untuk beraksi lebih cemerlang”, tambahnya.


Skuad kendalian Benjamin Mora akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk memburu tiga mata berdepan Negeri Sembilan esok.


Saksikan siaran langsung di unifiTV 701 & 702, unifi playTV dan YouTube.


 

Post Credits :https://www.malaysianfootballleague.com/articles/misi-negeri-sembilan-jdt-kekal-rekod-bersih-tanpa-kalah/


Reposted: Footballmamak.com

Date: 21/5/2022

0 views

Recent Posts

See All