• Football News Malaysia

SATIANANTHAN LEGA KEBANGKITAN SARAWAK UNITED



Beraksi dengan kelebihan seorang pemain di sepanjang separuh masa kedua menjadi pemangkin utama di sebalik kemenangan Sarawak United FC ke atas Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, semalam.


Menurut ketua jurulatih Sarawak United, B. Satiananthan, beliau berasa lega situasi itu memberikan ruang kepada pemainnya untuk bangkit selepas ketinggalan kepada jaringan pendahuluan melalui Manuel Hidalgo di babak pertama.


Walaupun begitu, Satiananthan mengakui masih banyak kelemahan di dalam pasukan perlu diperbaiki jika mahu memastikan Sarawak United untuk terus kekal bersaing di pentas Liga Super.



“Mungkin di separuh masa pertama, pemain tampak agak perlahan ekoran sedikit keletihan ekoran lambat sampai ke Kuantan.


“Bagaimanapun situasi memihak kepada kami di separuh masa kedua kerana kami bermain dengan 11 pemain manakala mereka 10 orang sahaja dan pemain berjaya mendapatkan rentak dimahukan.


“Cuma kami perlu lebih bijak dalam penggunaan bola kerana terlalu kerap membuang bola dari membuat pergerakan yang lebih baik.


“Gol dari pihak lawan juga sama dengan terjadi sebelum ni semasa kami kalah 1-2 ( Negeri Sembilan), pemain datang melakukan rembatan tetapi tiada siapa yang membuat hadangan.

“Ini jadi satu masalah kepada kita tetapi mujur kami dapat menguasai permainan di separuh masa kedua dengan dua gol yang memberikan kemenangan,” katanya.


Nur Shamie Iszuan menyamakan kedudukan buat Sarawak United pada minit 55 sebelum Uche Agba menyempurnakan sepakan penalti pada minit 73 bagi memastikan kemenangan 2-1.


Kemenangan itu meletakkan Sarawak United keluar dari zon penyingkiran dengan menduduki tempat ke-10 mengatasi Terengganu FC dan Penang FC.


Dalam pada itu, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel, terpaksa menelan kepahitan dengan kekalahan berkenaan sambil akur ketiadaan Muslim Ahmad yang dilayangkan kad merah di separuh masa pertama memberikan perbezaan besar.


“Saya tidak menjangkakan perkara itu akan dilakukan oleh seorang pemain berpengalaman seperti Muslim Ahmad.


“Situasi itu membunuh peluang pasukan ketika kami sedang mendominasi perlawanan dan segalanya berubah selepas detik berkenaan.


“Kami telah mengambil pendekatan yang serius untuk perlawanan ini serta bermain mengikut kelebihan kami berbanding lawan yang ada kekuatan dari segi fizikal,” katanya.


 

Post Credits :https://www.malaysianfootballleague.com/articles/satiananthan-lega-kebangkitan-sarawak-united/


Reposted: Footballmamak.com

Date: 23/5/2022

5 views

Recent Posts

See All